Sunday, September 11, 2011

Keyakinan mengatasi keraguan..rahsia di sebalik tragedi 11 Sept di dalam al-Quran..


Cerita ini teman petik dari blog YB Kulim Bandar Baharu iaitu Dato Zulkifli Nordin..semoga segala yang teman paparkan ini sedikit sebanyak menambahkan keimanan dan keyakinan kita terhadap Islam..insya-ALLAH..

Dalam keadaan keimanan makin surut, dalam suasana syariat makin kaput, dalam keadaan syiar yang kian reput, dalam keadaan umat yang makin semput, dalam keadaan agamawan yang menjadi syaitan karut; umat Islam memerlukan suntikan hidayah untuk mempertahan dan memantapkan keimanan dan keyakinan. Umat Islam perlukan mukjizat. Dan itulah yang dibuktikan oleh peristiwa 11 Sept 2001 - mukjizat Al Quran terbukti akhirnya, hidup dan relevan sepanjang zaman!

Tersebut kisah seorang kafir harbi mencabar umat Islam, khususnya para ulama dan ilmuan, "kalau benar Al Quran itu mukjizat, dan relevan sepanjang zaman, buktikan kepada aku peristiwa 11 Sept 2001 ada tercatat didalam Al Quran", bentak sikafir ini dengan penuh keyakinan. Dia cukup konfiden umat Islam akan terkedu kali ini.

Apabila menerima cabaran ini, para agamawan dan serbannawan terkedu. Mereka jadi syaitan bisu & kaku. Kata mereka, kami tak belajar ni di gedung pondok kami. Yang kami belajar kat ma'had hanyalah bahawa hukum videoklip bukan bahan bukti, sebab ia cuma besi beku. Kaum yang setelah bertahun memaki kapirkan orang lain kerana tidak menubuhkan Daulah Islamiyah, akhirnya membuang perjuangan kerana mendakwa rupenya dalam Quran takde ayat pasal negara Islam. Para agamawan menjadi kelu, dan tiada jawapan kunjung tiba dari mereka. Umat yang mengharapkan mereka akan ke saf hadapan untuk mempertahankan Islam, sangat kecewa bila mereka hanya sanggup mati untuk mempertahankan punjabi kafir harbi.

Dalam kekelaman itu, seorang hamba ALLAH yang hanya lulusan muqaddam, yang kerjanya bukan mencari syuruu duit aur makan dengan berceramah di masjid surau, yang tidak menjadikan mimbar Jumaat tempat maki hamun, menyebar fitnah dan mengadu-doomba, yang hanya takut kepada ALLAH dan menitis airmata sering teringat Rasulullah saw; dia datang mara ke saf hadapan. Membela dan mempertahankan kesucian dan kehormatan kalam ALLAH swt, menebus maruah ummah!

"Ada!!!" tegas 'Abdillah si hamba ALLAH ini. "Ada tercatat didalam Al Quran peristiwa 11.09.2001 ini!!!", ujarnya dengan penuh keimanan dan keyakinan! Si kafir harbi terkedu! "Prove it, buktikan!". Desak si kafir harbi. Maka berlakulah dialog diantara mereka;

'Abdillah: "Berapa haribulankah berlaku peristiwa ini wahai kafir harbi"

Kafir harbi: "11 haribulan"

'Abdillah: "Cuba mike buka Juz ke 11 dalam Al Quran";

Kafir harbi: sambil membuka lembaran terjemahan Al Quran, "Apa ni, Abu Teroris, hanya ada beberapa surah dalam Juz 11 ni";

'Abdillah: "Bulan berapa peristiwa itu berlaku wahai kafir?" tanya insan beriman ini tanpa mempedulikan sindiran si kafir;

Kafir harbi: "Bulan sembilan. Bulan September ikut kalendar tuhan ku" jawab si harbi dengan sinis!

'Abdillah: "Didalam Juz ke 11, ada surah yang kesembilan, cuba mike check tengok" keyakinan 'Abdillah makin terserlah;

Kafir harbi: "Apa ni, surah ke sembilan, surah At-Tawbah. Apa kena mengena 11.09 dengan bertaubat", perli sekafir harbi. Bodoh pulak si Muslim ni, kata hati sikafir!

'Abdillah: Tanpa memperdulikan perli si harbi, 'Abdillah bertanya; "Berapakah tinggi Menara Kembar WTC New York yang runtuh itu wahai kafir harbi?";

Kafir harbi: Sambil menggaru kepala yang tak gatal, "11o tingkat tuan extremis"; kata si harbi sambil menganggap ini ulama' kangkung mana nak berdebat dengan dia!

'Abdillah: "Cuba mike tengok didalam Juz ke 11 surah ke 9 itu, ada ayat 110. Cuba mike baca tengok", dengan senyum penuh keyakinan 'Abdillah menyuruh si kafir harbi membaca;

Kafir harbi: Sambil menyelak lembaran terjemahan Al Quran itu, dan dibacanya terjemahan ayat tersebut, "Keruntuhan bangunan yang dibina oleh mereka yang munafik itu sentiasa menjadi penyakit syak dan keluh kesah dalam hati mereka, dan tidak habis (perasaan itu) kecuali bila hati mereka hancur runtuh (dalam tanah). Dan ingatlah, ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!!!" baca si harbi sambil dahi mula berpeluh;

'Abdillah: "Cuba mike baca terjemahan bahasa Inggeris pulak, kot nanti mike kata tak faham pulak kang" desak 'Abdillah kepada kafir yang malayufobia itu dengan penuh keyakinan;

Kafir harbi: sambil membuka terjemahan Inggeris, "The building which they built, will never cease to be misgivings in their hearts of hypcorisy, until their hearts are torn and cut into pieces. ALLAH is All-Knowing, All-Wise", bagai direntap-rentap jantung si harbi membaca wahyu Ilahi yang tidak ada sedikit pun keraguan padanya.

Kafir harbi: "Apa ini wahai Muslim?", hati si harbi sudah mula lembut;

'Abdillah: Mari teman ceritakan asbabul nuzul, sebab turunnya ayat ini, jelas 'Abdillah mengulangi sejarah sebagaimana Saidina Ja'far Abi Tolib At-Tayyar membacakan surah Maryam kepada Maharaja Najasyi Al-Habsyi yang menyebabkan runtun jiwa Raja Besar Nasrani itu;

"Terdapat seorang munafik di Madinah, namanya Abu Dhirrar. Dia mahu menunjukkan kepura-puraan dia menyintai Islam. Lalu dia membina sebuah masjid yang besar, lebih cantik dan hebat dari Masjid Nabawi di Madinah dan Masjid Quba'. Setelah masjid itu siap, yang dipanggil Masjid Ad-Dhirrar tersergam megah, lalu Abu Dhirrar meminta Nabi saw merasmikannya.

Kebetulan Nabi dalam persediaan untuk pergi ke Perang Tabuk bersama para sahabat untuk bertempur dengan Maharaja Kristian Herkules dari Rom. Jadi Rasulullah saw berkata, "nanti dalam perjalanan balik dari Perang Tabuk, insyallah aku akan singgah dan rasmikan masjid mu wahai Abu Dhirrar".


Selama Nabi saw ke Tabuk, satu perjalanan yang jauh dibawah panas terik matahari, dimana sahabat saperti Saidina Abu Bakr mendermakan seluruh hartanya fisabilillah, Abu Dhirrar sentiasa keresahan menanti Nabi saw kembali untuk merasmikan Masjidnya, supaya kemunafikan dia tidak kelihatan.


Dalam perjalanan pulang dari Tabuk, Saidina 'Umar ibnul Khattab, yang mendermakan separuh hartanya untuk membiayai peperangan tersebut bertanya kepada Rasulullah, "wahai Nabi kekasih ALLAH, mengapakah engkau mahu merasmikan masjid yang dibina oleh Abu Dhirrar, si munafik yang membinanya dengan keangkuhan dan kesombongan?". Bantah 'Umar.

"Wahai 'Umar, kita husnul zan sahabatku, kita bersangka baik sahajalah. Kan yang dibina Abu Dhirrar itu sebuah masjid", sanggah insan yang cukup mulia itu.
"Tapi ya Rasulullah, kalau engkau merasmikannya, ia hanya akan menambah kemunafikan Abu Dhirrar, dan akan diguna masjid itu sebagai sarang menyerang umat Islam pula", bantah 'Umar yang terkenal tidak pernah berkompromi dalam hal Islam, sehingga iblis dan syaitan akan lari tak mahu bertembung dengan 'Umar ditengah jalan.

"Tidak apalah 'Umar, aku akan tetap merasmikannya. Insyallah, aku berserah kepada ALLAH" kata Nabi yang pernah menyembahyangkan jenazah Abdullah Bin Ubay Bin Salul, bapak munafik Madinah. Dengan kehendak ALLAH, turunlah wahyu kepada Nabi saw, membenarkan bantahan 'Umar. Maka turunlah ayat 107-110 surah At-Tawbah yang bermaksud:

"Dan diantara orang munafik itu juga ialah orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan keselamatan umat Islam, dan menguatkan keingkaran mereka sendiri, serta memecah-belahkan perpaduan umat Islam dan orang beriman, dan juga untuk dijadikan tempat intipan bagi orang yang memerangi ALLAH dan RasulNya sebelum itu, dan apabila tujuan buruk mereka itu terbongkar, mereka akan bersumpah dengan berkata: Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata. Padahal ALLAH menyaksikan bahawa mereka sesungguhnya berdusta.

Jangan engkau sembahyang didalam masjid ini selama-lamanya (wahai Muhammad), kerana masjid (Quba') yang engkau bina dan dirikan atas dasar taqwa dari mula ujudnya, sudah lebih sepatutnya engkau sembahyang didalamnya. Didalam masjid itu, ada orang-orang yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya, dan ALLAH mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir & batin).


Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang dididrikannya atas dasar taqwa kepada ALLAH dan (untuk mencari ) keredhaan ALLAH itu lebih baik, ataukah orang yang yang membangunkan masjid yang didirikannya ditepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan orang yang membangunkannya kedalam api neraka! Dan ingatlah, ALLAH tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim!!!".

Wahai kafir, sebagai hamba ALLAH yang ta'at, sebaik sahaja mendapat wahyu itu, Nabi Muhammad saw terus memerintahkan tentera Islam yang bersama Baginda di Perang Tabuk bergegas ke Masjid Ad-Dhirrar. Sesampainya tentera Islam di Masjid Ad-Dhirrar, lalu mereka meruntuhkan masjid itu dan membakar tapaknya sehingga sebutir kesan pun tidak ada yang ditinggalkan!".

'Abdillah: jadi kamu lihat wahai ahli kitab, peristiwa keruntuhan Menara Kembar WTC 110 tingkat itu pada 11.09 itu sebenanya telah ALLAH ceritakan didalam Al Quran didalam Juz ke 11, surah ke 9, ayat 110!

'Abdillah: "Dan kamu belum yakin lagi dengan mu'jizat Al Quran wahai ahli kitab?", tanya hamba muttaqin ini kepada kafir yang sudah runtuh benteng kekafirannya!

Kafir harbi: "Ada apa lagi wahai Muslim?", lembut tapi sayu dan sedih bunyi suara si kafir tegar itu.

'Abdillah: "Adakah kamu tahu, huruf 'mim' dalam perkataan "hakim" di akhir ayat 110 Surah At-Tawbah itu adalah huruf ke 2001 dalam surah tersebut!!!

Subhanallah, masya ALLAH wahai Muslim.

Aku kini percaya dan yakin dengan kebenaran dan mukjizat Al Quran:

Asy hadu alla ila ha illallah, wa asy hadu anna Muhamaddar rosulullah!!!

Aku naik saksi, tidak ada tuhan melainkan ALLAH Yang Esa, dan aku naik saksi Muhammad itu pesuruh ALLAH!


Maka berimanlah si kafir harbi yang tegar itu! Menjadi seorang Muslim yang yang sejati!

I'tibar: wahai saudara Muslim ku yang beriman, yakin dan percayalah kita dipihak yang benar, ALLAH Yang Maha Esa itu benar, Nabi Muhammad saw itu benar, Al Quran itu benar, mati itu benar, alam barzakh itu benar, Akhirat itu benar, dan Syurga-Neraka itu benar. ALLAH akan membantu kita bila kita membantu agama ALLAH, dan ALLAH akan letakkan kafir kebawah tapak kaki kita - tetapi kita perlu yakin, percaya dan istiqomah dengan lafaz:


Tidak ada tuhan melainkan ALLAH Yang Satu, dan kita ikhlas beragama Islam kerana ALLAH (dan bukan kerana parti, individu, kerusi, habuan, kedudukan, jawatan dan lain-lain)!

*Nota: segala rujukan kepada Al Quran, Hadis & sirah diatas diperolehi daripada sumber rujukan yang sahih dan dipercayai benar. Sekiranya terdapat mana-mana kesilapan atau kesalahan, ianya adalah kelemahan teman sendiri dan diharap dapat diperbetulkan. Yang baik datangnya daripada ALLAH, yang tidak itu semuanya adalah kelemahan teman sendiri. Wallahua'lam.

Thursday, August 4, 2011

Bunyinya macam lucah..tapi inilah realiti dan cabaran masa kini..


Bermula dengan sekadar mengurat

Lalu bertemu di satu tempat

Maka tangan pula mula melarat

Lawan peluk tak kurang hebat


Bila peluk sama rapat

Nafas pun tersekat-sekat

Baju sendat turut terangkat

Gunung berluruh turut dipanjat


Tinggi rendah bacaan disukat

Jarum meter berpusing ligat

Lubang kosong mula tersumbat

Habis longgar dulunya ketat


Ular sakti menikam tepat

Bisa terpancut kononnya ubat

Ubat cinta tak pernah tergugat

Tak pernah terfikir kesan akibat


Lekat la "cop" merata tempat

lupa lah ALLAH dan PARA MALAIKAT

iblis gembira melompat-lompat

maka lahir la anak tak cukup sifat

9 bulan perut sarat

Dulu kosong sekarang berat

Bila ditanya kata terjerat

Time terkangkang kononnya nikmat


Cepatlah abg cepatlah cepat

Fikir dunia tak ingat akhirat

Dapat baby di buang merempat

Masalah selesai kononnya selamat


Segala amalan dihitung dicatat

Tunggulah masa tunggulah saat

Di akhirat kelak hang takkan selamat

Melain cepat memohon taubat


Ingatlah wahai sahabat sebagai nasihat

Sesungguhnya dunia tunggu masa untuk kiamat

Beringatla wahai umat

Dunia ini hanya sementara tempat berehat


Hanya akhirat yang kekal abadi

Jangan terlalu mengejar duniawi

Ingatlah bahawa smua itu tak boleh dibawa mati

Kelak nanti engkau yang rugi

Sunday, June 19, 2011

Jasamu dikenang Allahyarham Tun Ghafar Baba..Tokoh penstabil politik Malaysia..

Semalam teman ada terbaca mengenai Allahyarham Tun Ghafar Baba..Rupa-rupanya kita telah terlupa salah seorang tokoh yang banyak memberi sumbangan terhadap perpaduan, kemajuan dan penstabil politik negara kita..Justeru itu, teman berusaha untuk mencari sedikit maklumat untuk semua pembaca mengenai Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ini..Diharapkan ilmu yang teman peroleh dari wikipedia ni membantu kita semua mengenali bekas pemimpin AGONG negara kita..Al-Fatihah buat beliau..

"..Sesungguhnya segala kejayaan yang dicapai hari ini ditunjangi oleh usaha dan pengorbanan pejuang-pejuang kita yang terdahulu."-Dato Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak..
Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 10 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Kehadiran beliau dilihat sebagai tokoh penstabil politik Malaysia, ikon 'tokoh politik kampungan' yang berjiwa Melayu tulen.
Pendidikan
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah (1931 - 1936) dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu (1937 - 1940), Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim (1946 - 1949). Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru (1949 - 1955) sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politik (1955 - 2004).
Kehidupan Awal
Beliau dilahirkan pada 18 Februari 1925 di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.Adik-beradiknya seramai 10 orang dan beliau menjaja ubi kayu di Melaka untuk menambah pendapatan keluarga. Ketika usia 14 tahun beliau menjadi pemungut bola golf dan bola tenis golongan atasan seperti Yang di-Pertuan Agong pertama, Tunku Abdul Rahman. Ketika umur 34 tahun beliau menjadi Ketua Menteri Melaka dan duduk semeja dengan Tunku Abdul Rahman apabila menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara.


Keluarga
Beliau berkahwin dengan Allahyarhamah Toh Puan Hajjah Asmah binti Alang dan kemudian berkahwin dengan Dayang Heryati binti Abdul Rahim pada tahun 1992, tetapi bercerai pada tahun 2003. Beliau dikurniakan 11 orang anak. Antaranya ialah bekas ahli parlimen Batu Berendam , Dato Tamrin Abdul Ghafar dan anak bongsu Kartika Sri. Tiga anaknya telah meninggal dunia.
Politik
Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kemudian aktif dalam PKMM sejak 1945 hingga 1948.

Pada 1955 Tun Ghafar menyertai UMNO di Melaka. Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Setiausaha UMNO Melaka, Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Naib Presiden UMNO (1962-1987), Ketua Perhubungan UMNO Sabah (1991) , Pengerusi BN Sabah (1992), dan Setiausaha Agung BN (1974-1993).
Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955. Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999. Beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka atau Ahli Parlimen Jasin selama 49 tahun berturut-turut, menerusi 11 pilihan raya umum sejak 1955 hingga 1999.
Beliau merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 3 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Mahathir. Beliau keluar kabinet selama 10 tahun apabila Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri. Apabila Tun Dr. Mahathir dilantik Perdana Menteri beliau masih berada di luar kerajaan dan hanya masuk kembali pada tahun 1986 apabila Tun Musa Hitam meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Ketua Menteri Melaka
Seawal 1959 Tun Ghafar menolak tawaran jawatan Ketua Menteri Melaka sehingga memaksa Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj mengancam untuk membiarkan negeri itu tanpa Ketua Menteri. Ghafar akhirnya akur dengan kehendak Tunku dan memegang jawatan itu selama lapan (1959-1967) tahun.

MARA
Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA yang pertama dari 1 September 1967 hingga 31 Oktober 1971 bagi meninggikan martabat ekonomi orang Melayu. Beliau juga merupakan pengasas Kolej MARA (1972),Institut Kemahiran Mara, Yayasan Pelajaran Mara dan ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd dan Kompleks Kewangan selama 10 tahun bermula 1September 1976 hingga 1986 apabila dilantik Timbalan Perdana Menteri.

Masalah Kepimpinan MCA
Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku Presiden MCA selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.
Menolak Jawatan Menteri
Pada 1974 Tun Ghafar meninggalkan kabinet pimpinan Perdana Menteri Tun Hussein Onn . Pada 1981 menolak jawatan Menteri Pelajaran yang ditawarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Antara jawatan yang disandangnya ialah Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Pada 1989 Tun Ghafar memangku jawatan Perdana Menteri semasa Dr. Mahathir menjalani pembedahan jantung.

Timbalan Perdana Menteri
Dalam pemilihan Perhimpunan Agung UMNO 1987, beliau berjaya mengalahkan Musa Hitam bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO dengan majoriti tipis, 40 undi.
Encik Ghafar Baba dilantik oleh Dr Mahathir Mohamad menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia selepas Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 1987.
Pada 1993 Tun Ghafar berundur daripada jawatan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat perletakan jawatan ditulis pada kertas Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.








Jawatan
§ JawatanSetiausaha Kesatuan guru - guru 1949 - 1951,
§ Setiausaha UMNO Melaka 1951 - 1955
§ Pengerusi UMNO Melaka 1955 - 1973
§ Ketua Menteri Melaka 1959 - 1967
§ Ahli Majlis Tertinggi UMNO 1957 - 1993
§ Ketua Penerangan UMNO 1958 - 1962
§ Naib Presiden UMNO 1962 - 1987
§ Presiden de facto MCA pada tahun 1985 (MCA mengalami krisis kepimpinan pada 1985 dan 1986)
§ Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri 1986 - 1993
Beliau merupakan seorang yang rendah diri, tabah dan sentiasa berjuang demi nasib bangsa Melayu.
Lain-lain
Beliau pernah menjadi Pengerusi PGA dan ‘Lawn Tennis Association’ mulai Disember 1984, Presiden ‘Asian Tennis Circuit Council’, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Melaka, Pengerusi ‘Merdeka Scholarship Fun Committee’ dan Bekas Presiden Bulan Sabit Merah Melaka.Add Image
Penghargaan
Tun Ghafar Baba enggan menerima sebarang gelaran datuk atau pingat daripada mana-mana sultan . Tambahan pula Melaka tidak mempunyai sultan atau raja kecuali Yang diPertua Negeri Melaka. Sehingga akhir hayatnya beliau dipanggil Encik Ghafar sahaja.
Pingat darjah kebesaran yang pernah diterima oleh Tun Abdul Ghafar adalah anugerah kehormat Doktor Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 27 Julai 1985, anugerah ‘Bapa Perpaduan’ oleh Pemuda UMNO Kota Melaka pada tahun 1987, ‘Malaysian Institute of Management Honorary Fellowship Award’ pada tahun 1988, anugerah ‘Bapa Yang Disayangi’ oleh Persatuan Telegu Malaysia pada tahun 1990, pingat kebesaran S.S.M. yang membawa gelaran ‘Tun’ pada tahun 1995 dan anugerah ‘Tun Abdul Razak Foundation National Award’ pada 19 Mac 1998.
§ Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba di Masjid Tanah, Melaka juga dinamakan sempena nama beliau. Nama asal sekolah ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Masjid Tanah. Encik Abdul Ghafar bin Baba selaku Ketua Menteri Melaka telah meletakkan batu asas pada 24 September 1962.
§ MRSM Jasin ditukar nama kepada MRSM Tun Ghafar Baba pada 27 Julai 2006 selepas beliau meninggal dunia bagi mengenang jasa beliau. Majlis penjenamaan semula itu dilakukan oleh Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Y.B Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin.
§ Muzium Tun Abdul Ghafar merupakan rumah asal beliau di Jasin, Melaka.
§ Enam Felda di Melaka dinamakan semula sempena nama Tun Abdul ghafar iaitu Felda Tun Ghafar Machap, Felda Tun Ghafar Hutan Percha, Felda Tun Ghafar Menggong, Felda Tun Ghafar Kemendor, Felda Tun Ghafar Air Kangkong dan Felda Tun Ghafar Bukit Senggeh. Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara itu pada 7 April 2007.
Meninggal Dunia
Pada 23 April 2006. Beliau meninggal dunia di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 7:35 pagi kerana komplikasi jantung, paru-paru dan buah pinggang. Beliau berusia 81 tahun ketika menghembuskan nafas terakhirnya. Jenazah beliau dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Turut hadir ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas isterinya Dayang Heryati binti Abdul Rahim.Sembahyang jenazah diketuai oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Kamaruddin Zakaria dan pengkebumian diketuai oleh Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Wan Halim Wan Harun. Tun Abdul Ghafar merupakan negarawan ke-4 disemadikan di bawah kubah Makam Pahlawan selepas Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn .